Tuesday, March 25, 2008

MENGENANG BUDI / MEMBALAS JASA

Assalamualaikum, hello semua,

Hari ini saya nak berbicara soal mengenang budi dan membalas jasa. Kita tinggalkan dunia yang huru-hara ini sekejap. Macam-macam berlaku dan semua itu menyesakkan fikiran. Mana dengan kemelut perlantikan Menteri Besarnya dan dunia luar melihat pertelingkahan Hamas dan Fatah sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Ok, Kamus Dewan Edisi Ketiga mentafsirkan budi sebagai "Sifat baik, perbuatan baik, kebajikan" dan jasa pula didefinisikan sebagai "pekerjaan baik". Sudah tentu bagi orang melayu perkataan budi dan jasa sudah tidak asing lagi kerana kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut setiap ketika.
Kita lihat pantun ini ...

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Begitulah masyarakat dahulu menyanjung budi.

Anak-anak wajib mengenang budi kedua ibu bapa mereka dan seterusnya membalas jasa yang telah mereka curahkan kepada kita. Sebenarnya tak susahpun. Ibu bapa bukan meminta wang ringgit cuma sedikit perhatian, terutama apabila mereka telah tua.

Semalam saya menonton siri " Without A Trace " di saluran Hallmark. Penghujungnya amat menarik, Jack Mallone ( hero ) menziarahi bapanya yang tua dan telah menunjukkan tanda-tanda awal nyanyuk. Bapa tua itu memarahi Jack kerana masuk tanpa mengetuk pintu dan rambut Jack yang panjang. Bapa tua itu memang menjengkelkan dan mereka asyik bertengkar. Jack dengan suara tegas dan lantang berkata kepada bapanya " Jika saya keluar dari pintu itu, ayah tak akan ingatpun nama saya". Bapa tua tersebut menghalau dan Jack keluar dari rumah.
Diakhir cerita ketika bapa tua itu sedang membaca akhbar, tiba-tiba pintu diketuk. Dan Jack masuk dengan rambut yang dipotong pendek, duduk disebelah bapa tua dan sama-sama membaca akhbar. Moral dari cerita itu anak-anak...buangkan ego kita dan ikutlah apa yang disukai ibu-bapa. Ianya tidak lama dan mereka telahpun sampai kepenghujung usia mereka.

Selain dari itu, kita juga sepatutnya mengenang budi sesiapa sahaja yang pernah berbuat baik kepada kita, orang yang tak mengenang budi dilabelkan sebagai " kacang lupakan kulit". Tenang tak hidup kalau kita sampai boleh melupakan budi baik orang lain ? Entahlah, jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Orang yang berbudi pula janganlah harapkan balasan, tak ikhlas namanya tu. Berbudi dan membuat jasa tu biarlah dari hati nurani yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran..kerana "allah maha mengetahui".

Kepada orang ramai pula kenang-kenanglah kepada orang yang telah berjasa kepada kita, janganlah disebabkan "nila setitik rosak susu sebelanga". Dalam keghairahan kita mendapat "penyapu baru" jauh disudut hati kita toleh-tolehlah kepada "penyapu lama" yang ada di belakang pintu. Tak faham ? Tak apalah...budak-budak memang tak faham apa yang tersirat.

Ok, bercakap pasal budi dan jasa ni, teringat saya pada awal tahun 90'an dulu. Saya mula bekerja dengan gaji yang tak seberapa. Dengan pendapatan yang sedikit tu, ingin jugalah saya menyumbang kepada adik-adik yang masih bersekolah. Ketika itu, adik lelaki saya menuntut di England dan adik perempuan bongsu saya bersekolah di sekolah teknik melaka. Ada ketikanya saya terpaksa membatalkan hasrat membeli kasut baru agar duit tu dapat diberikan kepada mereka. Jumlahnya tak seberapa. Saya masih ingat rakan kerja pernah berkata kepada saya " Tidakkah awak terfikir untuk diri sendiri ? Beli kereta ke ? Ingat bila dia orang dah berjaya ingat pada awak tak ?"

Tanpa berfikr panjang inilah jawapan saya...ianya masih segar hingga kehari ini. saya kata " Sebenarnya ini adalah tanggung-jawab. Soal mereka ingat ataupun tidak bukan persoalannya. saya tidak mengharapkan balasan kerana ini adalah tanggung-jawab".

Sekarang adik lelaki saya telahpun bergelar CEO untuk sebuah yayasan dan adik perempuan bongsu saya menjawat jawatan sebagai Left. Komander dengan TLDM. Alhamdulillah , budi dan jasa yang tidak mengharapkan balasan dibalas dengan ingatan yang jitu oleh mereka. Cakap je kesempitan, sekejap lagi adalah duit dalam akaun. Begitulah balasan yang saya terima. saya bersyukur kerana Allah merahmati hubungan akrab kami sekeluarga.

Saya tahu, tulisan saya tidak begitu menarik. Sebenarnya saya pun tidak berapa seronok untuk menulis malam ini. Entah mengapa. Mungkin malam dah larut agaknya. Oklah saya undur diri dulu, esuk saya akan cuba menulis dengan lebih baik lagi. Sehingga itu terjadi..."Ciao! "

No comments: