Tuesday, March 25, 2008

MENGENANG BUDI / MEMBALAS JASA

Assalamualaikum, hello semua,

Hari ini saya nak berbicara soal mengenang budi dan membalas jasa. Kita tinggalkan dunia yang huru-hara ini sekejap. Macam-macam berlaku dan semua itu menyesakkan fikiran. Mana dengan kemelut perlantikan Menteri Besarnya dan dunia luar melihat pertelingkahan Hamas dan Fatah sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Ok, Kamus Dewan Edisi Ketiga mentafsirkan budi sebagai "Sifat baik, perbuatan baik, kebajikan" dan jasa pula didefinisikan sebagai "pekerjaan baik". Sudah tentu bagi orang melayu perkataan budi dan jasa sudah tidak asing lagi kerana kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut setiap ketika.
Kita lihat pantun ini ...

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Begitulah masyarakat dahulu menyanjung budi.

Anak-anak wajib mengenang budi kedua ibu bapa mereka dan seterusnya membalas jasa yang telah mereka curahkan kepada kita. Sebenarnya tak susahpun. Ibu bapa bukan meminta wang ringgit cuma sedikit perhatian, terutama apabila mereka telah tua.

Semalam saya menonton siri " Without A Trace " di saluran Hallmark. Penghujungnya amat menarik, Jack Mallone ( hero ) menziarahi bapanya yang tua dan telah menunjukkan tanda-tanda awal nyanyuk. Bapa tua itu memarahi Jack kerana masuk tanpa mengetuk pintu dan rambut Jack yang panjang. Bapa tua itu memang menjengkelkan dan mereka asyik bertengkar. Jack dengan suara tegas dan lantang berkata kepada bapanya " Jika saya keluar dari pintu itu, ayah tak akan ingatpun nama saya". Bapa tua tersebut menghalau dan Jack keluar dari rumah.
Diakhir cerita ketika bapa tua itu sedang membaca akhbar, tiba-tiba pintu diketuk. Dan Jack masuk dengan rambut yang dipotong pendek, duduk disebelah bapa tua dan sama-sama membaca akhbar. Moral dari cerita itu anak-anak...buangkan ego kita dan ikutlah apa yang disukai ibu-bapa. Ianya tidak lama dan mereka telahpun sampai kepenghujung usia mereka.

Selain dari itu, kita juga sepatutnya mengenang budi sesiapa sahaja yang pernah berbuat baik kepada kita, orang yang tak mengenang budi dilabelkan sebagai " kacang lupakan kulit". Tenang tak hidup kalau kita sampai boleh melupakan budi baik orang lain ? Entahlah, jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Orang yang berbudi pula janganlah harapkan balasan, tak ikhlas namanya tu. Berbudi dan membuat jasa tu biarlah dari hati nurani yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran..kerana "allah maha mengetahui".

Kepada orang ramai pula kenang-kenanglah kepada orang yang telah berjasa kepada kita, janganlah disebabkan "nila setitik rosak susu sebelanga". Dalam keghairahan kita mendapat "penyapu baru" jauh disudut hati kita toleh-tolehlah kepada "penyapu lama" yang ada di belakang pintu. Tak faham ? Tak apalah...budak-budak memang tak faham apa yang tersirat.

Ok, bercakap pasal budi dan jasa ni, teringat saya pada awal tahun 90'an dulu. Saya mula bekerja dengan gaji yang tak seberapa. Dengan pendapatan yang sedikit tu, ingin jugalah saya menyumbang kepada adik-adik yang masih bersekolah. Ketika itu, adik lelaki saya menuntut di England dan adik perempuan bongsu saya bersekolah di sekolah teknik melaka. Ada ketikanya saya terpaksa membatalkan hasrat membeli kasut baru agar duit tu dapat diberikan kepada mereka. Jumlahnya tak seberapa. Saya masih ingat rakan kerja pernah berkata kepada saya " Tidakkah awak terfikir untuk diri sendiri ? Beli kereta ke ? Ingat bila dia orang dah berjaya ingat pada awak tak ?"

Tanpa berfikr panjang inilah jawapan saya...ianya masih segar hingga kehari ini. saya kata " Sebenarnya ini adalah tanggung-jawab. Soal mereka ingat ataupun tidak bukan persoalannya. saya tidak mengharapkan balasan kerana ini adalah tanggung-jawab".

Sekarang adik lelaki saya telahpun bergelar CEO untuk sebuah yayasan dan adik perempuan bongsu saya menjawat jawatan sebagai Left. Komander dengan TLDM. Alhamdulillah , budi dan jasa yang tidak mengharapkan balasan dibalas dengan ingatan yang jitu oleh mereka. Cakap je kesempitan, sekejap lagi adalah duit dalam akaun. Begitulah balasan yang saya terima. saya bersyukur kerana Allah merahmati hubungan akrab kami sekeluarga.

Saya tahu, tulisan saya tidak begitu menarik. Sebenarnya saya pun tidak berapa seronok untuk menulis malam ini. Entah mengapa. Mungkin malam dah larut agaknya. Oklah saya undur diri dulu, esuk saya akan cuba menulis dengan lebih baik lagi. Sehingga itu terjadi..."Ciao! "

Monday, March 24, 2008

ASSALAMUALAIKUM... SALAM PERKENALAN

Sesuatu yang indah telah berlaku dalam hidup saya ! Hello semua...Pertama saya hulurkan salam perkenalan kepada sesiapa sahaja yang tetiba termasuk ke blog saya. Semasa saya muda dulu, saya menyimpan cita-cita apabila umur saya mencapai 40 tahun, saya ingin bersara dan ingin jadi penulis.
Ketika itu seorang teman rapat saya ( namanya Thelagavathy) berkata "bukankah umur 40 tahun sudah terlalu tua untuk mula-mula menulis ? Awak sepatutnya bermula sekarang!" Tapi pada masa itu saya sangat sibuk menyiapkan Ijazah Pertama saya melalui program Pengajian Jarak Jauh dengan Universiti Utara Malaysia. ( Alhamdulullah saya berjaya memperolehinya).
Saya suka menulis walaupun banyak ketikanya ejaan saya tidak betul. Saya tidak berminat untuk menulis novel ataupun cerpen. Saya sangat suka melihat sekeliling dan menulis mengenainya. Akhirnya dalam usia empat puluhan setengah saya berjaya menjumpai medium yang sesuai untuk menulis.......

Saya tak punya banyak masa untuk menulis. Sebagai seorang penternak sepenuh masa saya banyak menghabiskan masa di kandang dan juga di tapak semaian milik saya. Saya bahagikan masa dengan cukup bijak sambil tidak pernah melupakan tanggung jawab saya menghantar dan mengambil anak bongsu saya dari sekolah..kemudian menghantarnya pergi kelas tuisyen pada sebelah petang dan malam. ( Tahun ini puteri saya ini akan menduduki peperiksaan SPM...tolong doakan kejayaannya)

Dalam kesibukan yang menggila, saya sempat juga menonton tv. Saya tak pernah ketinggalan melihat berita utama pada masa prima. Saya juga berminat menonton cerita-cerita...siri yang paling saya minati adalah CSI..ketiga-tiganya.

Tadi dicelah-celah iklan semasa buletin utama saya sempat menyelak surat khabar hari ini ( memang dah agak lewat ) tapi hanya itu kesempatan yang saya ada. Ruangan FORUM sejak kebelakangan ini menarik minat saya. Rencana yang ditulis oleh Penceramah Pertama dari Sarawak berjaya mencuri masa saya yang lebih berharga dari emas.

Anda dah baca ?. LAGI SERUAN PERTAHAN DEB. biasalah.. ada pro dan kontranya..itu dah lumrah hidup. Iramanya sama sahaja. Penceramah pertama dari Sarawak melihat DEB satu mekanisme yang walaupun tidak seratus peratus berjaya tetapi dapat membantu menaikkan taraf hidup, merapatkan jurang pendapatan serta dapat mengikat perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Agaknya Penceramah Pertama masih muda lagi ( sebab pertama) dan jarang benar sejak kebelakangan ini kita dengar suara hati yang sebegini lahir dari perasaan anak muda.

Teringat saya pada hujung minggu yang baru berlalu. Saya menghadiri majlis kahwin anak saudara ( anak kakak sulung ) di sebuah felda yang menjadi sebutan di Pahang. Waktu itu barulah dapat berkumpul semua.. dalam kebisingan kenduri kami sempat berbual dan sudah tentunya sedikit sebanyak keputusan piliharaya umum ke 12 menjadi topik. Seronok bercerita mengenai politik ni..... terutamanya apabila kita rasa undi kita besar kuasanya.

Seorang anak saudara saya yang dah jadi "orang bandar" dan bekerja dengan proton dengan gaya seorang ahli politik menyatakan kebanggaannya dengan apa yang berlaku di Selangor. Bagaimana dia bercerita bahawa komplot untuk membawa keluar fail sulit Khir Toyo mengenai perjanjian air dengan Pahang. Seronok juga saya mendengarnya dan saya begitu kagum kerana anak muda yang tak berapa nak "menjadi" dalam SPM ni bukan main pandai bercerita. Ayatnya sedap pulak tu.

Saya orang lama...macam yang saya kata tadi dah empat puluhan setengah. Saya tidak mendaftar dengan mana-mana parti politik. Jadi saya boleh dikira "natural" lah kan ? Namun saya adalah pengundi yang bijak. Ketika melangkah ketempat membuang undi, tekad saya sudah bulat...saya bertanya diri saya sendiri..
Siapakah diantara mereka yang bertanding ini dapat menjamin kesinambungan DEB?
Siapakah di antara mereka ini yang dapat menjamin Perlembangaan Malaysia tidak terusik ?
Siapakah di antara mereka ini yang dapat mentafsirkan kontrak sosial dengan betul ?
Saya tahu jawapannya dan saya pasti ramai orang tahu jawapannya.

Saya sempat bertanya soalan ini kepada anak saudara saya yang pada ketika itu meriba anak keduanya. Dia tidak menjawab soalan saya tetapi menyoal saya kembali. Katanya ... Apakah bezanya Pulau Pinang dibawah Gerakan berbanding dibawah DAP?
Sejauh manakah DEB yang dilaksanakan mulai tahun 1971 itu membawa kejayaan kepada orang melayu ?
Mengapakah kita membandingkan harga minyak negara kita dengan negara "Importer" dan bukannya dengan negara "Exporter"?

Ketika itu saya teringat kata-kata pemimpin kesayangan saya, Tun Dr. Mahadhir " Melayu Mudah Lupa". Kesihan sekali kerana anak melayu ini sudah lupa asal dirinya. Ketika berhujah dia mengeluarkan statistik tentang keuntungan Petronas, dan ketidak wajaran harga minyak dinaikkan. Sayang sekali orang bandar kalah dengan penternak seperti saya dalam soal menyediakan budget untuk petrol.

Perbincangan kami terputus kerana anak diribaannya merengek dan menangis. Saya berkata di dalam hati, kita boleh survive dengan penghapusan DEB tetapi mampukah anak kecil ini survive ? Dalam usia sebegini dia masih berdakap diribaan ayahnya sedangkan anak bangsa lain yang seusianya sudah pandai melekat lebel harga pada barang...fikir-fikirkanlah.

Saya adalah produk DEB. Saya belum berjaya dalam dunia perniagaan tetapi saya berjaya mengembangkannya dengan usaha saya sendiri. Saya tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak cuma saya ditaja untuk berkursus di Mai Farm pada Jun 2007 oleh Bank Pertanian Malaysia. Saya ditawarkan pinjaman ratusan ribu ringgit oleh BPM tetapi saya tidak berjaya memperolehinya kerana saya tidak mampu menyediakan cagaran. Semua fenomena ini tidak berjaya mencetuskan rasa marah saya kepada kerajaan...kenapa ? Saya pun tidak dapat menjawabnya dengan tepat tetapi saya dididik oleh almarhum abah saya supaya tidak"mengharap" kepada sesiapa. Saya berusaha gigih kerana sebelum terjun kedunia ini saya sudah tahu cabarannya. Alhamdulillah saya mampu membesarkan sedikit demi sedikit perniagaan saya dengan sokongan kuat dan padu ahli keluarga yang sentiasa bersatu.
....... " sebenarnya tak susahpun...aku kan anak abah ?" ( iklan DiGi )

Untuk Penceramah Pertama dari Sarawak, saya sangat bangga dengan anda. Suara hati anak muda yang orang tua seperti saya sangat-sangat rindukan.

Saya pernah bekerja dengan jawatan yang juga hebat dalam syarikat luar negara. Syarikat Itali. Saya ramai kawan, jangan terperanjat kawan baik saya berbangsa Cina dan India. Saya sayangkan mereka dan walaupun kami sudah tidak bekerja bersama, kami selalu berhubung dan mereka akan menziarahi saya pada hari Raya. Kata mereka masakan saya sedap. Bila kami berbual sambil ketawa, dalam hati kecil saya sangat bangga dengan perpaduan yang terbentuk ini.

Saya rasa, malam sudah larut. Ada beberapa kerja yang belum saya siapkan. Saya berundur diri dulu, insyaAllah esuk saya akan menulis lagi untuk isu yang lain pula...