Saturday, June 21, 2008

Apa nak jadi?

Assalamualaikum,

Dah sebulan saya tidak menulis. Dalam sebulan ini berbagai perkara telah berlaku. Hilang kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, harga minyak dunia yang melambung naik dan berbagai-bagai peristiwa yang menghimpit kita. Namun hidup terpaksa kita teruskan. Ketika keputusan hak pulau Batu Putih diputuskan oleh ICJ, saya berada dikandang. Sebelum itu saya memang menonton siaran langsungnya. Puteri bongsu saya menelefon dan menyampaikan keputusan sedih itu. Saya tak terkata apa...sayang sekali kita kehilangan hak sendiri. Nak salahkan siapa? Nak salahkan sejarah ? Muga sejarah tak kan berulang.

Secara jujurnya, melihat barisan penghujah dari republik kecil itu, saya dah dapat agak keputusan memihak kepada siapa. Ah..kita kan manusia!!!!!!!!!. Jadi bye-byelah Pulau Batu Putih...lepas ni dalam peta dunia dah tak ada lagi pulau Batu Putih..agaknyalah...lepas ni kita akan kehilangan apa pulak ?? Tapi yang kelakarnya kan..adalah seorang "bijak pandai" tu buat ulasan..." kita dalam situasi menang-menang" loghat mat sallehnya lebih hebat dari mat salleh sendiri. Dia ingat kita bodo apa? Dah hilang kedaulatan pun masih boleh cakap "win-win situation". Giler apa????? Macam bijak sangat.
Oklah, perkara dah lepas, jangan dikenang lagi. Kalau rasa rindu, bacalah sejarah. Tapi saya rasa orang kita tak kesahpun.

Kenaikan harga minyak yang melambung membuat saya terperanjat. Tak pernah dalam hayat, pada malam itu saya ikut orang beratur isi tangki kereta. tapi tak dapat isi penuh, cuma RM20.00 je. Selepas kilang tempat saya kerja tutup, saya mula bimbang dengan harga minyak. Tanpa ekonomi yang kukuh, kenaikan harganya bagaikan bebanan dibahu saya bertambah. Aduhai, bagaimana perjalanan hidup selepas ini ? Keesukannya saya tenguk, keadaan seperti biasa. Kenderaan masih penuh dijalanraya. Manusia meneruskan kehidupan mereka tanpa banyak perubahan. Fahamlah saya bahawa...walaupun berat, hidup terpaksa diteruskan.

Bermacam-macam nasihat diberikan oleh peneraju negara. Berjimatlah, ubah gaya hiduplah dan macam-macam lagi. Itu belum lagi campur, "situasi menang-menang" yang mereka sebut. Nampaknya "situasi menang-menang " dah jadi moto baru. Siapa yang menang ? Kalau depa ingat depa dah menang..memang depa syok sendirilah!.

Saya bukanlah tak nak ikut nasihat mereka. Berjimat, ubah gaya hidup, kongsi kereta, guna kenderaan awam dan macam-macam nasihat bodoh. Saya tak nampak kongsi kereta satu jalan penyelesaian, guna kenderaan awam?. Turun-turun lah tenguk mutu perkhidmatan kenderaan awam di Malaysia..dengan mentaliti mereka yang masih mundur, kenderaan awam di Malaysia bagaikan baru sepuluh tahun merdeka.

Saya teruskan hidup tanpa banyak membising. Anak saya tetap dihantar dan dijemput ke dan pulang dari sekolah. Saya pun taklah berjalan kaki ke kandang. Apa yang saya buat, usaha lebih gigih untuk tambah pendapatan. Orang bisnes macam saya perlu kurangkan kos dan naikkan produktiviti. Nak buat macamana lagi?.

Tapi orang Malaysia baik-baik. Ketika menumpangkan seorang abang, dia menyatakan bahawa tiada siapapun mampu berbuat apa-apa dengan situasi harga minyak yang melambung di pasaran. Dia tak terasa pun, katanya. ( Mana nak terasa kalau selalu tumpang orang?) Tapi bagi saya, sebab itu barisan pemimpin perlu orang yang bijak. Sebab itu kita pilih mereka, supaya dapat melindungi kita dari tempias kekalutan dunia. Kalau harga minyak dunia naik, kita naikkan harga minyak kita...tak payahlah susah-susah pilih pemimpin...Pak Mat tukang kebun sekolahpun boleh buat macam tu....

Yang seronoknya, media elektronik punyalah mengampu.....Balik-balik nak bandingkan zaman Tun dulu..benci betul depa dengan Tun kan ? Ha.. yang ini saya tak tahu kenapa. Tapi saya ingat lagi pensyarah Tamandun Islam saya pernah kata...tv tu.. tv....tigasuku. Masa tu, saya tak lah faham sangat..tapi waktu ni, bila dengan berita...saya mengakui kata-kata pensyarah saya tu memang betul...tv tu memang tv tigasuku !!!!!!!!

Saya pun dapat banyak e-mail tentang kenaikan bahan bakar ni. Ada satu tu, ajaknya mengira bayaran yang kerajaan berikan dengan kos harian. Saya mathematic ni bukanlah tak reti sangat tapi bab kira mengira yang mengarut macam tu malaslah. dari kira mengira benda yang tak berfaedah macam tu baiklah saya kira berapa banyak yang saya perlukan bagi menampung perjalanan saya dari rumah ke kandang yang letaknya hampir 20km. Tak kan nak kongsi kereta dengan Encik Dolah yang bekerja di pejabat kerajaan yang letaknya dalam "town".
Berapa ratus sebulan yang perlu saya gunakan....kalau nak banding dengan segala-gala yang "dihapuskan" dalam pembentangan Belanjawan...nampaknya tak berbaloi!! Sebenarnya saya dah agak dah...kalau yuran tu dihapuskan, cukai ini dikurangkan...akibat kepada ekonomi negara memang teruk walaupun tepukan meja para wakil rakyat sangat kuat masa pembentangan bajet !!!! Bukanlah suka sangat nak bayar yuran sekolah anak, tapi biarlah kita bayar yuran yang setahun sekali tu dari bayar harga minyak yang naik 78 sen setiap kali...betul tak ?

Dah lah..malam dah larut. Saya jumpa anda lagi dilain kali, muga kesempitan dunia tidak menghimpit kita...muga pemimpin yang kita pilih tahu untuk melindungi kita dari kekalutan ini...dan banyak semuga lagi...sehingga itu terjadi..semuga kita bertemu lagi.

Tuesday, May 20, 2008

Berakhirnya Perjuangan Seorang Wira

Assalamualaikum,

Rasanya dah lama benar saya tidak menulis. Semakin hari saya menjadi semakin sebuk, rasa macam masa terlalu cepat berlalu. Walaupun sebuk, saya akan menulis sekiranya ada isu besar berlaku. Saya terkaku ketika mendengar berita bahawa Tun Mahadhir keluar dari UMNO. Bukankah kerana UMNO Tun sanggup bergadai myawa ? Saya masih ingat sajak "Perjuangan Masih Belum Selesai " yang Tun deklimasikan dengan titisan air mata.

Berbagai reaksi diberikan oleh semua golongan tentang pengunduran Tun. Kata Musa Hitam bagaikan "Duri Dalam Daging" yang telah keluar, kata Shahibul Samah Mufti Perak, mungkin menyebabkan berlakunya perpecahan orang melayu. Kata Johari Baharom dia tak tahu mengapa Tun marah sangat kepada Pak Lah. Kesihan dia kan ? Entah dia tak mampu membaca apa yang tersirat ataupun tersurat ataupun..."Kura-kura dalam perahu ?'. Dan yang paling sinis adalah ekspresi muka pembaca berita tentang pengunduran itu yang menyifatkan keputusan Dato Mukhriz sebagai tamparan kepada ayahnya. Hai macam-macam....

Bagi saya pengunduran Tun adalah keputusan seorang pejuang yang telah putus asa. Saya berharap lepas ni Tun jangan fikir lagi tentang politik. Bersaralah dengan aman. Cukuplah apa yang telah Tun tinggalkan untuk kami. Kemakmuran dan kemajuan ini telah kami kecapi, tanpa Tun kami tidak mungkin dihormati oleh warga dunia. Saya sebagai rakyat yang tak punya nama benar-benar menghargai jasa tersebut, saya rasa bukan saya seorang malah ramai lagi orang-orang kecil seperti kami memahaminya.

Tun Mahadhir adalah seorang pejuang, wira dan pemimpin yang dilahirkan. Tun berkarisma sebagai pemimpin dan bumi bertuah ini bersyukur dianugerahkan seorang pemimpin seperti Tun. Tun tak takut sesiapa, dia ada harga diri yang tidak dapat dibeli. Tun menyayangi bangsanya dan cuba sedaya upaya meletakkan bangsanya kepersada dunia. Namun kita harus ingat, Tun juga seorang manusia biasa. Manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Sebenarnya, sejak Tun bersara beberapa tahun dahulu, saya merasakan ulasan-ulasan media yang suka membeza-bezakan kepimpinan dulu dan sekarang menjadi racun yang membunuh secara diam-diam. Media elektronik yang paling ketara. Saya pernah berkata kepada anak-anak ( sebab tak tahu nak cakap pada siapa ), perbuatan mereka pasti mengundang padah...untuk apa membandingkan kepimpinan Tun dan Pak Lah ? Bukankah mereka dari satu parti yang sama ? dan Tun mengundurkan diri kerana percaya Pak Lah mampu meneruskan perjuangan melayu.

Syukurlah saya bukan ahli parti politik. Kancah politik yang kotor dan menjijikkan. Yang pada suatu masa dahulu kita berada dibelakang Tun sambil mengangkat-ngangkat tangan dan pada hari ini kita mencaci-cerca beliau. Bukankah kita bagaikan badut ? ( Walaupun bukan macam monyet seperti kata Menteri Besar Pahang ) Mungkin si empunya diri tak perasan, tapi bagi orang biasa seperti saya, rasa hormat hilang entah kemana, rasa meluat pulak timbul. Bukan apa , nampak betul hipokritnya mereka ni. Betul juga....nanti hilang pulak jawatan..betul tak?.

Hari ini media seolah-olah mengangkat Asian Wall Street Journal sebagai wira yang mencaci-cerca Tun. Keluar berita utama lagi ulasan tersebut! Nampak tak muka pembaca berita masa membacakan petikan berita tersebut??? Hah....
Orang kita sanggup memartabatkan sesiapa sahaja yang sependapat dengan mereka sebagai wira..itulah orang kita. Sebab kita masih tidak ada jati diri, masih tak ada harga diri dan masih mudah menggadaikan maruah.

Kepada Tun, saya berdoa semuga beliau dapat melupakan dunia politik buat selama-lamanya. Anggaplah perjuangan Tun telahpun selesai. Dan apa yang telah Tun tinggalkan menjadi warisan yang tidak ternilai harganya. Biarlah kepimpinan sekarang memacu negara kearah yang mereka fikirkan betul. Berikan mereka peluang kerana dua penggal memang belum cukup untuk membuktikan sesuatau, biarlah masa menentukan segalanya. Saya berharap Tun dapat menerima hakikat bahawa era kepimpinan Tun telahpun berakhir dan yang paling unik Tun sendiri yang mengkahirinya.

Walaupun sedih dengan nasib yang menimpa Tun, hidup perlu diteruskan. Semuga anak-anak saya nanti tidak melupakan saya dimasa saya sudah tua. Saya berdoa, kasih sayang mereka kekal hingga akhir hayat dan mereka tetap menghormati saya walaupun saya sudah nyanyuk. Semuga bumi Malaysia ini tetap damai, muga cuaca panas ini diselangi hujan..dan banyak lagi muga saya. Sehingga muga - muga itu terjadi saya mengundur diri dulu..selamat malam Malaysia...Ciao !

Friday, May 2, 2008

Selamat sejahtera Malaysia !

Assalamualaikum,
Apa khabar Malaysia? ( syok sendiri ). Lama juga saya tidak mejenguk laman blog ni. Tetiba je komputer rosak. Habis semua dokumen saya, moral daripada cerita ini, selalulah back-up file anda, jika tidak meranalah jawabnya.

Ok, apa isu kita hari ini ? Macamana kalau kita bercakap mengenai banyak perkara? Tentu lebih menarik. Persidangan parlimen telah bermula. Bagi saya sitcom lawak kembali ke kaca tv. Tapi sitcom kali ini lebih lawak, dan ada ketikanya lebih menakutkan....jadi cerita seramlah pulak. Saya teringat kekecohan dalam sidang parlimen dibeberapa negara asia. Sampai berketuk-ketuk kasut lagi. Dalam hati saya berdoa semuga Malaysia tak jadi macam tu. Semasa menonton berita prima jam 8 pada malam tu, sempat jugalah saya ketawa terbahak-bahak Dan kemudiannya saya mula takut, akan jadi seperti Taiwan kah parlimen kita ?

Kita juga diberitakan 3 wakil rakyat dari pembangkang ditahan polis kerana megalihkan pemancar telekomunikasi. Pada mulanya saya ingat mereka gila, tapi bila tenguk berita sepenuhnya barulah saya sedar bahawa mereka bertindak kerana rakyat dah banyak kali buat aduan tapi tak diendahkan. Nampaknya zaman "Robin Hood" mula melanda Malaysia. Sesetengah pihak bertindak luar biasa atas nama kehendak rakyat...tapi..." adakah matlamat boleh menghalalkan cara?" Entah.... fikir-fikirlah sendiri.

Dalam penulisan saya yang lepas saya ada bercerita tentang kenaikan harga beras. Minggu ini berita dipenuhi oleh isu ini. Saya mula jadi takut..., takut habis beras didapur..nak makan apa? Minggu lepas semasa suami saya membeli beras dalam kampit sepuluh kilo..saya mengamuk sakan. nak kenduri ke? Saya tanya dia. Tapi hari ini, saya rasa bersyukur pulak..sekurang-kurangnya sebulan lagi saya tak risau pasal beras. Kenaikan dan kekurangan belakan makanan memang menjadi cerita yang menakutkan. Namun saya berharap agar kita semua tidak panik. Pandailah kerajaan kita menanganinya. Dia orang tu semua bijak-bijak belaka..tahu apa nak buat sebab itu kita pilih dia orang.

Rasanya belum terlambat bagi saya ucapkan tahniah kepada anak-anak kita yang telah mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi. Bukankah berbaloi usaha anak-anak bersengkang mata untuk study ? Untuk anak saudara saya NorZulaikha selamat memasuki universiti. Beliau ditawarkan course " Analisis Pelaburan", ketika kakak saya menghubungi menyatakan resahnya pada course ini saya yakinkan dia bahawa yang penting anak kita dapat tempat dan lepas tu belajar bersungguh-sungguh..ingat " Perjuangan Masih Belum Selesai"...saya meminjam tajuk sajak yang dicipta oleh bekas Perdana Menteri kita yang sangat-sangat saya kagumi..Tun Dr. Mahadhir Mohd. Mana yang tidak tersenarai, jangan anggap dunia sudah berakhir. Ada banyak lagi peluang yang kita tidak pernah terfikirkan.

Mengimbau pengalaman saya ketika anak sulung saya tidak berjaya menempatkan dirinya di universiti pada tahun 2005 dulu..saya rasa dunia ini telah berakhir. Apa akan jadi pada putera sulung saya ini? Cita-citanya terlalu tinggi dan patutkah dia berakhir setakat memegang sijil SPM? Oh Tuhan..berat betul ujian ketika itu....ditambah pula saya baru sahaja hilang pekerjaan. Namun syukurlah..dia diterima belajar di Politeknik dalam jurusan kejuruteraan. Dan pada Semester kedua..dia berjaya memperolehi 4 flat...oh..indah sungguh rahmat tuhan ! Dan pada tahun 2007 pula, puteri kedua saya berjaya menempatkan dirinya di universiti..jadi saya dah merasai pengalaman ibu yang sedih dan ibu yang gembira.

Bagi anak-anak yang dah dapat tempat. berjuanglah. jangan sekadar lulus saja. Jadi insan yang gemilang kerana bagi orang islam seperti kita..kita akan berjuang agar hari ini lebih baik dari semalam. Dan bagi anak-anak yang tidak mendapat tempat pula, cari peluang lain. Ingat..jika hari ini kita terjatuh...kita akan melompat lebih tinggi. Itu kata-kata dalam lagu Sheila On 7, saya tak kenal sangat penyanyi ni tapi kalau liriknya boleh dipinjam untuk memotivasikan diri saya akan ingat sampai bila-bila.

Bagi ibu-ibu yang menyimpan berbagai rasa tentang keputusan UPU ni ingatlah. Andai anak kita berjaya, katakan kepada mereka, mereka telah membanggakan kita. Dan bagi parents yang anak tak dapat tempat, jangan patah semangat. Cari peluang lain untuk anak-anak kita...jika kita bersedih apa lagi dengan anak-anak..Jadi insan yang kuat untuk mereka menyandarkan harapan..ingat..jika kita kecewa, anak-anak tersebut lebih kecewa. Saya pernah merasainya, namun alhamdulillah, rahmat Tuhan terlalu banyak....dan jika kita jadikan daun sebagai kertas dan air sebagai dakwat..nescaya tak cukup untuk menulis segala rahmatNya.

Oklah..dah hampir pukul sepuluh..saya nak pergi menjemput puteri bongsu dari kelas tuisyen. Macam saya kata dulu..saya suka membebel tapi dengan famili....saya tak pandai nak membebel...oklah kita jumpa lagi dilain ketika...selamat Malam dan Ciao!!!

Tuesday, April 15, 2008

Salam Rindu Buat Semua

Assalamualaikum dan hai... Anda apa khabar ? Saya telah "kehilangan" blog buat beberapa ketika. Kesibukan yang menghantu menjadikan menulis hampir mustahil. Kebetulan anak sulung saya bercuti, semester break selama seminggu. Dia sangat ambitious dan suka bekerja. Seminggu dia duduk dikandang dan kelahiran anak-anak kambing menceriakannya.

Sebenarnya, hati saya sedikit pilu bila melihat pergolakan politik khususnya UMNO. Retak dalaman akhirnya menjadi rekahan yang semakin membesar. Harus kita ingat, retak amat merbahaya kerana tiada cara yang mampu memperbaikinya. Gesaan agar pucuk pimpinan "step down" semakin kuat. Dalam soal ini saya tak tahu nak cakap apa. Bukan tak nak nyatakan pendirian tapi saya rasa saya tak layak berbuat begitu. Apa yang saya rasa adalah ketidakpuasan hati ramai orang adalah dengan kehadiran Khairy. Itu je. Saya pun ada masanya rasa menyampah juga. Bukan apa, ramai sangat yang "mengampu" dan membiarkan pucuk pimpinan rasa "syok sendiri". Apa yang masih saya tak faham ialah takkanlah tak ada maklumat tepat tentang sokongan goyah terhadap BN dibeberapa negeri. Parti pembangkang bukannya gerakan "bawah tanah". Bagi MP dan ADUN BN pula, bawa-bawalah bertenang ketika berbahas. Janganlah mengkritik sesuka hati. Memang benar kita nak ujudkan masyarakat telus tapi "menghentam" sesama sendiri buruk padahnya. Ada sesetangah orang tidak menganggap itu sebagai"hebat" malah keyakinan kepada BN semakin luntur. Percayalah...ini cetusan hati rakyat biasa.

Krisis kenaikan harga barang makanan dibeberapa negara luar menakutkan saya. Rakyat mampu mengamuk bila harga makanan jadi tidak munasabah. Mengapa boleh jadi begitu ? Saya harap negara kita yang mempunyai tanah yang subur ini dijauhi Allah SWT dari mengalami keadaan sedemikian. Semalam ketika saya ke kedai runcit membeli beras, perniaga itu memberitahu harga beras dah naik..katanya dalam masa sebulaan harganya naik dua kali. Betul ke? Saya tak perasan pun. Sayapun jarang beli beras, 5 kg mungkin boleh tahan hampir dua minggu. Tapi bila berada dibawah cahaya matahari, panas terik betul...petani lagi merasakannya. Tentu susah nak hasilkan beraskan ?

Macam saya kata dulu, saya ni penternak kecil. Kambing saya tak capai 100 ekorpun. Tapi saya berjaya keluarkan baja organik dari tinja kambing. Pasaran saya sekitar daerah kelahiran saya. Masa saya minta nasihat FAMA daerah kemana nak dipasarkan baja tu, pegawai tu beri saya jalan yang mudah. Katanya pasarkan di "Pasar Tani". Kerana saya seorang yang kreatif, saya kata padanya..lebih baik jual bunga sekali. Akhirnya dari idea pegawai FAMA tu, lahirlah tapak semaian bunga saya. Rupanya seronok jadi usahawan ni, tiap detik saya memikirkan bagaimana nak memajukan bisnes ni. Sokongan dari Agro Bank ( dulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia ) tak kurang hebatnya. Pengurus cawangannya sangat baik hati dan sentiasa ingin membantu. Perlukah dinyatakan nama mereka.? Orang yang berfikiran jauh dan sentiasa positf patut di war-warkan. Semuga pegawai yang lain mencontohi mereka. Dua nama besar yang sentiasa ingin membantu adalah pegawai FAMA daerah Encik Ahmad bin Nayan dan pengurus cawangan BPM En. Mohd Shukree bin Mohd Zin. Muga Allah SWT memberkati kedua-dua mereka...amin.

Oklah, banyak kerja yang harus saya buat. Saya suka bekerja walaupun dah malam. Semuga anda semua memperolehi apa sahaja yang anda inginkan, saya doakan. Muga jumpa lagi, sehingga itu terjadi..."CIAO!! ".

Tuesday, March 25, 2008

MENGENANG BUDI / MEMBALAS JASA

Assalamualaikum, hello semua,

Hari ini saya nak berbicara soal mengenang budi dan membalas jasa. Kita tinggalkan dunia yang huru-hara ini sekejap. Macam-macam berlaku dan semua itu menyesakkan fikiran. Mana dengan kemelut perlantikan Menteri Besarnya dan dunia luar melihat pertelingkahan Hamas dan Fatah sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Ok, Kamus Dewan Edisi Ketiga mentafsirkan budi sebagai "Sifat baik, perbuatan baik, kebajikan" dan jasa pula didefinisikan sebagai "pekerjaan baik". Sudah tentu bagi orang melayu perkataan budi dan jasa sudah tidak asing lagi kerana kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut setiap ketika.
Kita lihat pantun ini ...

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Begitulah masyarakat dahulu menyanjung budi.

Anak-anak wajib mengenang budi kedua ibu bapa mereka dan seterusnya membalas jasa yang telah mereka curahkan kepada kita. Sebenarnya tak susahpun. Ibu bapa bukan meminta wang ringgit cuma sedikit perhatian, terutama apabila mereka telah tua.

Semalam saya menonton siri " Without A Trace " di saluran Hallmark. Penghujungnya amat menarik, Jack Mallone ( hero ) menziarahi bapanya yang tua dan telah menunjukkan tanda-tanda awal nyanyuk. Bapa tua itu memarahi Jack kerana masuk tanpa mengetuk pintu dan rambut Jack yang panjang. Bapa tua itu memang menjengkelkan dan mereka asyik bertengkar. Jack dengan suara tegas dan lantang berkata kepada bapanya " Jika saya keluar dari pintu itu, ayah tak akan ingatpun nama saya". Bapa tua tersebut menghalau dan Jack keluar dari rumah.
Diakhir cerita ketika bapa tua itu sedang membaca akhbar, tiba-tiba pintu diketuk. Dan Jack masuk dengan rambut yang dipotong pendek, duduk disebelah bapa tua dan sama-sama membaca akhbar. Moral dari cerita itu anak-anak...buangkan ego kita dan ikutlah apa yang disukai ibu-bapa. Ianya tidak lama dan mereka telahpun sampai kepenghujung usia mereka.

Selain dari itu, kita juga sepatutnya mengenang budi sesiapa sahaja yang pernah berbuat baik kepada kita, orang yang tak mengenang budi dilabelkan sebagai " kacang lupakan kulit". Tenang tak hidup kalau kita sampai boleh melupakan budi baik orang lain ? Entahlah, jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Orang yang berbudi pula janganlah harapkan balasan, tak ikhlas namanya tu. Berbudi dan membuat jasa tu biarlah dari hati nurani yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran..kerana "allah maha mengetahui".

Kepada orang ramai pula kenang-kenanglah kepada orang yang telah berjasa kepada kita, janganlah disebabkan "nila setitik rosak susu sebelanga". Dalam keghairahan kita mendapat "penyapu baru" jauh disudut hati kita toleh-tolehlah kepada "penyapu lama" yang ada di belakang pintu. Tak faham ? Tak apalah...budak-budak memang tak faham apa yang tersirat.

Ok, bercakap pasal budi dan jasa ni, teringat saya pada awal tahun 90'an dulu. Saya mula bekerja dengan gaji yang tak seberapa. Dengan pendapatan yang sedikit tu, ingin jugalah saya menyumbang kepada adik-adik yang masih bersekolah. Ketika itu, adik lelaki saya menuntut di England dan adik perempuan bongsu saya bersekolah di sekolah teknik melaka. Ada ketikanya saya terpaksa membatalkan hasrat membeli kasut baru agar duit tu dapat diberikan kepada mereka. Jumlahnya tak seberapa. Saya masih ingat rakan kerja pernah berkata kepada saya " Tidakkah awak terfikir untuk diri sendiri ? Beli kereta ke ? Ingat bila dia orang dah berjaya ingat pada awak tak ?"

Tanpa berfikr panjang inilah jawapan saya...ianya masih segar hingga kehari ini. saya kata " Sebenarnya ini adalah tanggung-jawab. Soal mereka ingat ataupun tidak bukan persoalannya. saya tidak mengharapkan balasan kerana ini adalah tanggung-jawab".

Sekarang adik lelaki saya telahpun bergelar CEO untuk sebuah yayasan dan adik perempuan bongsu saya menjawat jawatan sebagai Left. Komander dengan TLDM. Alhamdulillah , budi dan jasa yang tidak mengharapkan balasan dibalas dengan ingatan yang jitu oleh mereka. Cakap je kesempitan, sekejap lagi adalah duit dalam akaun. Begitulah balasan yang saya terima. saya bersyukur kerana Allah merahmati hubungan akrab kami sekeluarga.

Saya tahu, tulisan saya tidak begitu menarik. Sebenarnya saya pun tidak berapa seronok untuk menulis malam ini. Entah mengapa. Mungkin malam dah larut agaknya. Oklah saya undur diri dulu, esuk saya akan cuba menulis dengan lebih baik lagi. Sehingga itu terjadi..."Ciao! "

Monday, March 24, 2008

ASSALAMUALAIKUM... SALAM PERKENALAN

Sesuatu yang indah telah berlaku dalam hidup saya ! Hello semua...Pertama saya hulurkan salam perkenalan kepada sesiapa sahaja yang tetiba termasuk ke blog saya. Semasa saya muda dulu, saya menyimpan cita-cita apabila umur saya mencapai 40 tahun, saya ingin bersara dan ingin jadi penulis.
Ketika itu seorang teman rapat saya ( namanya Thelagavathy) berkata "bukankah umur 40 tahun sudah terlalu tua untuk mula-mula menulis ? Awak sepatutnya bermula sekarang!" Tapi pada masa itu saya sangat sibuk menyiapkan Ijazah Pertama saya melalui program Pengajian Jarak Jauh dengan Universiti Utara Malaysia. ( Alhamdulullah saya berjaya memperolehinya).
Saya suka menulis walaupun banyak ketikanya ejaan saya tidak betul. Saya tidak berminat untuk menulis novel ataupun cerpen. Saya sangat suka melihat sekeliling dan menulis mengenainya. Akhirnya dalam usia empat puluhan setengah saya berjaya menjumpai medium yang sesuai untuk menulis.......

Saya tak punya banyak masa untuk menulis. Sebagai seorang penternak sepenuh masa saya banyak menghabiskan masa di kandang dan juga di tapak semaian milik saya. Saya bahagikan masa dengan cukup bijak sambil tidak pernah melupakan tanggung jawab saya menghantar dan mengambil anak bongsu saya dari sekolah..kemudian menghantarnya pergi kelas tuisyen pada sebelah petang dan malam. ( Tahun ini puteri saya ini akan menduduki peperiksaan SPM...tolong doakan kejayaannya)

Dalam kesibukan yang menggila, saya sempat juga menonton tv. Saya tak pernah ketinggalan melihat berita utama pada masa prima. Saya juga berminat menonton cerita-cerita...siri yang paling saya minati adalah CSI..ketiga-tiganya.

Tadi dicelah-celah iklan semasa buletin utama saya sempat menyelak surat khabar hari ini ( memang dah agak lewat ) tapi hanya itu kesempatan yang saya ada. Ruangan FORUM sejak kebelakangan ini menarik minat saya. Rencana yang ditulis oleh Penceramah Pertama dari Sarawak berjaya mencuri masa saya yang lebih berharga dari emas.

Anda dah baca ?. LAGI SERUAN PERTAHAN DEB. biasalah.. ada pro dan kontranya..itu dah lumrah hidup. Iramanya sama sahaja. Penceramah pertama dari Sarawak melihat DEB satu mekanisme yang walaupun tidak seratus peratus berjaya tetapi dapat membantu menaikkan taraf hidup, merapatkan jurang pendapatan serta dapat mengikat perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Agaknya Penceramah Pertama masih muda lagi ( sebab pertama) dan jarang benar sejak kebelakangan ini kita dengar suara hati yang sebegini lahir dari perasaan anak muda.

Teringat saya pada hujung minggu yang baru berlalu. Saya menghadiri majlis kahwin anak saudara ( anak kakak sulung ) di sebuah felda yang menjadi sebutan di Pahang. Waktu itu barulah dapat berkumpul semua.. dalam kebisingan kenduri kami sempat berbual dan sudah tentunya sedikit sebanyak keputusan piliharaya umum ke 12 menjadi topik. Seronok bercerita mengenai politik ni..... terutamanya apabila kita rasa undi kita besar kuasanya.

Seorang anak saudara saya yang dah jadi "orang bandar" dan bekerja dengan proton dengan gaya seorang ahli politik menyatakan kebanggaannya dengan apa yang berlaku di Selangor. Bagaimana dia bercerita bahawa komplot untuk membawa keluar fail sulit Khir Toyo mengenai perjanjian air dengan Pahang. Seronok juga saya mendengarnya dan saya begitu kagum kerana anak muda yang tak berapa nak "menjadi" dalam SPM ni bukan main pandai bercerita. Ayatnya sedap pulak tu.

Saya orang lama...macam yang saya kata tadi dah empat puluhan setengah. Saya tidak mendaftar dengan mana-mana parti politik. Jadi saya boleh dikira "natural" lah kan ? Namun saya adalah pengundi yang bijak. Ketika melangkah ketempat membuang undi, tekad saya sudah bulat...saya bertanya diri saya sendiri..
Siapakah diantara mereka yang bertanding ini dapat menjamin kesinambungan DEB?
Siapakah di antara mereka ini yang dapat menjamin Perlembangaan Malaysia tidak terusik ?
Siapakah di antara mereka ini yang dapat mentafsirkan kontrak sosial dengan betul ?
Saya tahu jawapannya dan saya pasti ramai orang tahu jawapannya.

Saya sempat bertanya soalan ini kepada anak saudara saya yang pada ketika itu meriba anak keduanya. Dia tidak menjawab soalan saya tetapi menyoal saya kembali. Katanya ... Apakah bezanya Pulau Pinang dibawah Gerakan berbanding dibawah DAP?
Sejauh manakah DEB yang dilaksanakan mulai tahun 1971 itu membawa kejayaan kepada orang melayu ?
Mengapakah kita membandingkan harga minyak negara kita dengan negara "Importer" dan bukannya dengan negara "Exporter"?

Ketika itu saya teringat kata-kata pemimpin kesayangan saya, Tun Dr. Mahadhir " Melayu Mudah Lupa". Kesihan sekali kerana anak melayu ini sudah lupa asal dirinya. Ketika berhujah dia mengeluarkan statistik tentang keuntungan Petronas, dan ketidak wajaran harga minyak dinaikkan. Sayang sekali orang bandar kalah dengan penternak seperti saya dalam soal menyediakan budget untuk petrol.

Perbincangan kami terputus kerana anak diribaannya merengek dan menangis. Saya berkata di dalam hati, kita boleh survive dengan penghapusan DEB tetapi mampukah anak kecil ini survive ? Dalam usia sebegini dia masih berdakap diribaan ayahnya sedangkan anak bangsa lain yang seusianya sudah pandai melekat lebel harga pada barang...fikir-fikirkanlah.

Saya adalah produk DEB. Saya belum berjaya dalam dunia perniagaan tetapi saya berjaya mengembangkannya dengan usaha saya sendiri. Saya tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak cuma saya ditaja untuk berkursus di Mai Farm pada Jun 2007 oleh Bank Pertanian Malaysia. Saya ditawarkan pinjaman ratusan ribu ringgit oleh BPM tetapi saya tidak berjaya memperolehinya kerana saya tidak mampu menyediakan cagaran. Semua fenomena ini tidak berjaya mencetuskan rasa marah saya kepada kerajaan...kenapa ? Saya pun tidak dapat menjawabnya dengan tepat tetapi saya dididik oleh almarhum abah saya supaya tidak"mengharap" kepada sesiapa. Saya berusaha gigih kerana sebelum terjun kedunia ini saya sudah tahu cabarannya. Alhamdulillah saya mampu membesarkan sedikit demi sedikit perniagaan saya dengan sokongan kuat dan padu ahli keluarga yang sentiasa bersatu.
....... " sebenarnya tak susahpun...aku kan anak abah ?" ( iklan DiGi )

Untuk Penceramah Pertama dari Sarawak, saya sangat bangga dengan anda. Suara hati anak muda yang orang tua seperti saya sangat-sangat rindukan.

Saya pernah bekerja dengan jawatan yang juga hebat dalam syarikat luar negara. Syarikat Itali. Saya ramai kawan, jangan terperanjat kawan baik saya berbangsa Cina dan India. Saya sayangkan mereka dan walaupun kami sudah tidak bekerja bersama, kami selalu berhubung dan mereka akan menziarahi saya pada hari Raya. Kata mereka masakan saya sedap. Bila kami berbual sambil ketawa, dalam hati kecil saya sangat bangga dengan perpaduan yang terbentuk ini.

Saya rasa, malam sudah larut. Ada beberapa kerja yang belum saya siapkan. Saya berundur diri dulu, insyaAllah esuk saya akan menulis lagi untuk isu yang lain pula...